Saturday, November 16, 2013

Ucapan Ketua Belia di majlis perasmian Kumpulan Ibadur Rahman MHBPT pada 21hb Julai 2013

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.
Yang mulia,
Tetamu Kehormat Majlis, Haji Abdul Rajid bin Haji Saleh, Pmk. Pengarah Hal Ehwal Masjid
YB Dato Paduka Awg Hj Abdullah bin Muhd Jaafar, Penasihat Takmir MHBPT
Awang Hasan bin Amat, Ketua Pegawai Ugama
Haji Masri bin Haji Mohammad, Pegawai Hal Ehwal Masjid
Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong
Imam Sahibol Omar bin Haji Yusof dan Imam Moksin bin Haji Moktar, Imam MHBPT
Pegawai-pegawai kerajaan, pihak-pihak media, hadirin dan hadirat serta rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi, yang dirahmati Allah sekalian:
Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, maka dapatlah kita berkumpul di pagi Ramadhan yang mulia ini, di dalam Majlis Membaca al-Quran Khas Sempena Hari Ulang Tahun KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan yang ke-67 Tahun dan Perasmian Kumpulan Belia Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong. Adapun majlis kita pada hari ini adalah kelolaan bersama Jawatankuasa Takmir MHBPT dan Kumpulan Belia Ibadur Rahman MHBPT sendiri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

Hadirin dan hadirat sekalian, seperti yang kita semua ketahui, belia dan golongan muda adalah masa depan agama, negara dan bangsa. Maka amat berkepentingan dan signifikanlah jika tindakan-tindakan yang sewajarnya diambil oleh semua pihak untuk menjaga dan memupuk golongan ini, agar tidak terjebak kepada perkara-perkara yang negatif. Dengan berasaskan niat murni yang demikianlah maka tertubuhnya Kumpulan Belia Ibadur Rahman MHBPT, yang dikelolakan sendiri oleh belia-belia dan jamaah-jamaah masjid setempat secara sukarela.

Untuk pengetahuan hadirin dan hadirat sekalian, di antara objektif tertubuhnya Kumpulan Belia Ibadur Rahman ini adalah:
  1. Menggalakkan belia-belia yang menetap di kawasan pekan Tutong untuk mengimarahkan masjid melalui program-program and aktiviti-aktiviti yang disusun khas untuk golongan muda.
  2. Membiasakan belia-belia untuk hadir ke program/aktiviti yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT).
  3. Melahirkan belia-belia Islam yang dapat berkhidmat dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.
  4. Meluaskan peranan masjid di dalam sama-sama mendidik dan membentuk belia yang cergas bukan sahaja dari aspek kerohanian, bahkan juga aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.
Adapun buat waktu ini, kelab ini telahpun memiliki kira-kira 50 orang ahli dan juga telah menjalankan beberapa aktiviti seperti program qiyamullail, kempen kebersihan masjid, membersihkan tanah perkuburan, tadarus mingguan dan lain-lain. Kami berharap dengan adanya pelancaran rasmi ini, akan menarik minat lebih ramai lagi belia untuk turut serta di dalam program-program yang akan dijalankan. Kami juga berharap agar pihak-pihak yang berkenaan akan terus memberikan sokongan padu di dalam sama-sama mendidik belia kita. Dan akhirnya, kita berharap agar Allah SWT redha dan mencatatkan segala aktiviti-aktiviti dan program-program yang telah ataupun akan dijalankan sebagai amal jariah bagi semua pihak yang terlibat. Aamiin.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, tidak lupa ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Tetamu Kehormat Majlis, Haji Abdul Rajid bin Haji Saleh serta hadirin dan hadirat sekalian di atas kesudian untuk hadir ke majlis pada pagi ini. Tidak lupa juga diucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, khasnya Imam Sahibol Omar dan Imam Moksin yang selama ini telah menyokong segala aktiviti dan program dijalankan oleh Kumpulan Belia Ibadur Rahman MHBPT. Dan kepada rakan-rakan seperjuangan, AJK Ibadur Rahman, syabas dan terima kasih saya ucapkan kerana telah berjaya mengungkayahkan majlis pada hari ini.

Akhir kalam, auqulu qauli hadza astaghfirullah al-adzhim li walakum, wassalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.


0 Comments:

Post a Comment

Anything hateful and offensive remarks will be removed instantly.

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home