Titah KDYMM Di Majlis Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Asia Tenggara Kali ke-5 Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Terlebih dahulu, beta mengucapkan selamat datang kepada para belia daripada negara-negara Asia Tenggara yang telah terpilih untuk menyertai Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Asia Tenggara Tahun 1432 Hijriah bersamaan 2011 Masihi.
Beta berpendapat bahawa perhimpunan belia-belia melalui musabaqah ini adalah merupakan lambang perpaduan ummah dan kerjasama serantau.
Perhimpunan seperti ini juga dapat dijadikan sebagai wadah untuk menanamkan kefahaman kepada masyarakat antarabangsa bahawa Islam adalah ugama perpaduan dan keamanan sejagat.
Belia Islam ASEAN wajar berperanan untuk memberikan gambaran yang betul tentang Islam, kerana terdapat sebahagian dari masyarakat dunia yang memandang serong terhadap Islam itu.
Walhal ugama Islam adalah cahaya, yang dengan jasanya jua, dunia jadi bersinar dan terkeluar daripada kegelapan jahiliah.
Golongan belia turut memegang peranan penting untuk merealisasikan kewajipan-kewajipan besar mengangkat nama baik Islam serta melindunginya daripada diusik oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.
Peranan seperti ini pernah dibuat dan diulukan oleh belia-belia daripada kalangan mereka yang beriman di zaman silam. Sebagai contoh, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri, dari zaman belia Baginda lagi sudah pun bekerja dan berjuang untuk Islam.
Kemudian diikuti oleh para sahabat, yang antaranya termasuk nama-nama besar, seperti Sayyidina 'Ali, Sayyidina Ma'az bin Jabal, Sayyidatina Asmaa' binti Abu Bakar Radiallahuanhum dan ramai lagi.
Semua mereka itu adalah belia-belia belaka, yang tidak jemu-jemu bekerja untuk Islam. Belia-belia yang seperti inilah yang dirindui oleh dunia kita sekarang, khasnya dunia Islam, untuk membawanya keluar daripada kegelapan jahiliah moden yang sedang membelenggunya.
Pada masa ini, apabila disebut belia atau anak muda, mereka sering dikaitkan dengan masalah-masalah moral dan sosial.
Perkara ini sebenarnya adalah mengaibkan, seolah-olah para belia atau anak muda itu adalah virus di dalam masyarakat, berbanding dengan para belia atau anak muda di masa silam adalah wira kebajikan.
Jadi berdasarkan ini, tidaklah para belia atau anak muda kita tersuntik untuk membuka label virus itu dan menukarnya dengan label wira kebajikan?
Pada hemat beta, sudah sampai masanya untuk dibuat perubahan untuk memperbaiki perspektif belia dan anak muda: dari dianggap sebagai pembawa dan penyebar virus sosial kepada pengubat atau perawat sosial.
Ke arah ini, perlu diadakan dan jika sudah ada, eloklah diteruskan usaha-usaha oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan untuk menjadikan para belia itu agen masyarakat yang mampu mengatasi masalah dan bukannya yang mencipta masalah.
Bagaimana cara untuk memproduk belia yang seperti ini? Adakah sama seperti kita memproduk barangan?
Jawabnya sama sekali tidak sama.
Memproduk belia yang baik memerlukan mekanisme istimewa yang bersumber daripada ajaran Al-Qur'an, iaitu menyuruh mereka berbuat taat dan beramal salih.
Kalau ada ini, barulah dapat dianggap mereka itu sebagai belia yang ideal dan unggul.
Kerana itu, dianjurkan kepada belia supaya sentiasa berdampingan dengan Al-Qur'an, bacalah ia selalu-selalu untuk mengambil berkat dan pahala yang dijanjikan.
Jangan pisahkan diri daripada Al-Qur'an, bawalah ia walau ke mana, seperti ketika bermusafir, untuk jadi teman di masa sunyi dan bersendirian.
Sesungguhnya orang yang membaca Al-Qur'an itu, adalah seperti saja dia sedang berkata-kata dengan Allah, kerana bukankah Al-Qur'an itu Kalamullah?
Insya-Allah, dengan cara begini, masalah yang banyak dikaitkan dengan belia dan remaja akan dapat diatasi dengan berkesan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh
0 Comments:
Post a Comment
Anything hateful and offensive remarks will be removed instantly.
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home