Saturday, September 6, 2014

Titah Sultan Brunei di Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-9 Tahun 2014

"Para belia mesti tampil menjadi wira keadaan. Corakkanlah keadaan itu dengan kebajikan. Biar ia malar tenteram dan menyenangkan serta berhias dengan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian."


Sebagai agen kepada perubahan, kaum belia perlu lebih bijak dan berhati-hati dalam menilai dan memilih perubahan itu kerana bukanlah semua perubahan itu baik, malah ada yang memerlukan kita supaya mengelaknya, iaitu jika perubahan itu membawa impak tidak baik atau tidak selaras dengan aspirasi bangsa.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan, sebelum membawa atau melahirkan sebarang perubahan, kaum belia dikehendaki untuk memiliki jati diri yang jelas, kukuh dan mantap.
"Ia juga mustahak untuk diisi dengan nilai-nilai ugama dan budaya yang luhur, supaya kelak perubahan itu tidak dibayangi oleh elemen-elemen yang tidak diingini," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-9 Tahun 2014 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Baginda bertitah, jika sesuatu perubahan itu menampilkan kebatilan maka perubahan seperti ini tidaklah dialu-alukan, kerana kemunculannya bukan membawa kebaikan tetapi sebaliknya mengundang kerosakan dan ini sangat biasa terjadi di mana-mana, atas nama perubahan, kalau perubahan itu berunsur malapetaka, maka masyarakat yang menerimanya akan menderita jadinya.
Kita di Brunei titah baginda, perlulah berhati-hati dengan perkara seumpama itu, cari dan rancanglah perubahan yang membina bukan perubahan yang merosak.
Baginda seterusnya bertitah mengingatkan kaum belia supaya tidak belajar atau mengambil dari mana-mana yang tidak bermanfaat untuk dipelajari, tetapi belajarlah dari mana dan kepada siapa yang patut dicontohi.
"Inilah cara mengendalikan diri. Para belia mustahak memahami perkara ini. Mengendalikan diri itu bererti juga menguasai keadaan di mana yang perlu. Inilah cabaran yang sangat sukar untuk dihadapi, iaitu cabaran Abad Ke-21 era globalisasi. Cabaran ini tidak pernah sunyi dari agenda memusnahkan kebenaran," titah baginda.
Di sinilah para belia tidak boleh memandang ringan sebarang cabaran titah baginda, tetapi mustahak menghayati saranan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini 'Bersatu Menghadapi Cabaran Abad Ke- 21'.
Sesungguhnya abad ini, titah baginda, memang penuh dengan cabaran, tidak siapa pun yang boleh terlepas dari cabaran, sama ada cabaran itu membina atau meruntuh.
Titah baginda, jika cabaran membina, ia wajar kita sambut dengan keghairahan, sementara jika cabaran itu meruntuh, maka kita adalah berkewajipan untuk menyambutnya dengan semangat menolak atau melawan, dalam makna, kita perlu berjaya menolak atau menggagalkannya.
Jika kita berjaya menolak atau menggagalkan cabaran seperti itu, titah baginda, bererti kita adalah penyelamat : penyelamat diri sendiri, penyelamat masyarakat dan penyelamat negara.
"Para belia mesti tampil menjadi wira keadaan. Corakkanlah keadaan itu dengan kebajikan. Biar ia malar tenteram dan menyenangkan serta berhias dengan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian," titah baginda.
Baginda menambah, satu contoh bagus tentang perpaduan dan persefahaman, terdapat dalam acara-acara Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah Peringkat Belia, melalui acara-acara ini kita dapat menyaksikan kumpulan belia negara-negara ASEAN dan Timor Leste sedang beraksi merealisasikan perpaduan dan persefahaman di antara mereka di mana suasana seperti ini amatlah membanggakan dan malah menghiburkan.
Kita juga gembira titah baginda, kerana kejohanan ini telah turut diiktiraf oleh Asian Football Confederation (AFC) dan ASEAN Football Federation (AFF) sebagai satu kejohanan bola sepak belia yang terunggul di rantau ini dan ini tidak syak lagi adalah merupakan satu lagi pencapaian bagi agenda dunia 'Sukan untuk Keamanan dan Pembangunan' atau Sports for Peace and Development.
Di akhir titah Kebawah DYMM, baginda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan Tebuan Muda Negara Brunei Darussalam di atas mutu persembahan mereka yang baik, walaupun tidak dapat meneruskan sehingga ke pusingan berikutnya.
Kebawah DYMM juga sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 2014 kepada semua para belia di negara ini.
Terdahulu baginda bertitah, para belia mempunyai peranan yang sangat besar dalam memelihara dan mengangkat martabat negara dan mereka juga adalah golongan paling berpotensi untuk mencorakkan bangsa dengan apa jua corak yang mereka mahu.
"Bukankah hampir 50 peratus dari jumlah penduduk negara ini terdiri daripada kaum belia? Jumlah yang sebesar ini merupakan satu 'kuasa' tersendiri. Kaum belia perlu menggunakan kelebihan ini untuk membina diri mereka sendiri dan juga masyarakat," titah baginda.
Dengan kelebihan yang ada itu titah Kebawah DYMM, mereka adalah mampu untuk terus berkembang dengan merebut pelbagai peluang yang sentiasa terbuka luas di hadapan mereka dan peluang-peluang tersebut turut meliputi, seperti peluang menambah kebolehan dan kemahiran.
sumber: http://www.pelitabrunei.gov.bn/nasional/item/13384-belia-perlu-bijak-menilai-perubahan 

0 Comments:

Post a Comment

Anything hateful and offensive remarks will be removed instantly.

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home